Tingkatkan Kredibiliti Anda Apabila Bercakap Tentang Produk atau Perkhidmatan Yang Anda Ingin Kenalkan
Salah satu perkara yang menyukarkan adalah apabila kita hendak memasarkan produk yang baru. Maklumlah, produk baru tidak ramai yang kenal dan persepsi masyarakat adalah benda yang lama lebih stabil dan meyakinkan.
Tetapi semestinya ada cara untuk memasarkan produk baru. Untuk itu kita mesti melihat kepada brand baru startup seperti Grab, Airbnb dan Shopee yang memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan berkesan dengan cara meningkatkan kredibiliti mereka.
Perkara yang paling penting adalah sentiasa konsisten dalam memberikan info yang tepat dan jelas. Sebagai wakil jualan, anda seharusnya ambil masa untuk mengetahui tentang produk dan mesej mereka. Sebagai contoh, KABGold adalah sebuah syarikat yang diterajui oleh orang-orang dikalangan kewangan syariah, oleh itu sentiasa tekankan tentang kepatuhan syariah dalam mesej anda.
Selain itu juga, jangan rendah-rendahkan persaingan anda. Kebiasaanya orang akan bertanya tentang perbezaan perkhidmatan anda dengan produk yang lain. Tidak salah membezakan secara am seperti kebaikan simpanan emas berbanding simpanan tetap. Tetapi jangan pula anda kata syarikat A tidak bagus, harga mahal, perkhidmatan teruk dan lain-lain lagi. Sebaiknya sentiasa bercerita tentang kebaikan perkhidmatan kita dari membezakan dengan perkhidmatan syarikat lain.
Kredibiliti anda sebenarnya dinilai oleh pelanggan-pelanggan anda. Maksudnya, anda tidaklah boleh berniaga seorang-seorang tanpa interaksi. Hubungi pelanggan anda, minta maklum balas, kongsikan tips dan testimoni dan kongsikan kepakaran anda untuk membantu orang lain adalah cara-cara untuk tingkatkan kredibiliti.
Terapkan nilai-nilai integriti dan profesionalism dalam berniaga. Anda kena sentiasa ingat bahawa mereka ini adalah pelanggan anda. Jadi pastikan perkara-perkara yang kita lihat remeh tetapi membawa makna perkhidmatan yang besar. Seperti sentiasa cuba menjawab soalan yang diberikan dengan cepat, sentiasa tepat waktu jika berjanji untuk berjumpa atau menggunakan ayat-ayat yang sopan ketika berkomunikasi.
Anda juga tidak boleh berkira sangat kalau hendak berniaga. Maksudnya, anda kena fleksibel dan cuba memberikan perkhidmatan lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jangan berkira pula tentang membalas mesej pada waktu malam atau hujung minggu dan cuba dapatkan jawapan dari orang lain sekiranya anda tidak tahu jawapan pelanggan. Jangan pula anda suruh pelanggan hubungi orang lain kerana anda tidak tahu jawapannya.
Anda juga mesti mengawal perkataan dan visual di platform perniagaaan. Jika platform perniagaan anda adalah FB peribadi anda, jangan pula anda bercerita tentang politik dan hal-hal kontroversi. Gunakan fb peribadi anda untuk sebarkan kebaikan dan hal-hal yang positif. Sekiranya fb anda sememangnya bercampur dengan hal-hal yang anda ingin luahkan, sebaik-baiknya gunakan fb perniagaan (business) atau menggunakan website (landing page). Penggunaan website yang professional memberikan impak yang besar terhadap presepsi pelanggan anda terhadap diri anda sendiri. (Contoh gambar landing page seperti diatas)
Insyallah, jika kita mengikuti perkara-perkara di atas dan sentiasa ikhlas dalam berniaga, pelanggan akan sentiasa memilih kita kerana kredibiliti yang kita ada.